Friday, October 30, 2009
Kalam Dr Siddiq Fadzil: Melayu HAMKA
Saturday, October 17, 2009
Kalam Siddiq Fadzil 3 : Misi Tahriri-Tanwiri
"Islam mempunyai misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan mengangkat harkat dan darjat manusia."
Islam telah berusaha memerdekakan manusia dari belenggu materialisme, belenggu mitos dan khurafat, belenggu penghambaan sesama manusia.
Friday, September 11, 2009
Pluralisme Agama: Perspektif Qur'ani
Dr Siddiq Fadzil, Kolej Dar al-Hikmah
07:00pm 17 Mei 2005
Pluralisme (agama) dalam konteks pembicaraan ini merujuk faham menyamakan semua agama dalam erti:
a. Kebenaran ada dalam semua agama, dan
b. Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama.
Pluralisme dalam pengertian ini harus dibezakan daripada toleransi antara agama dalam sebuah masyarakat majmuk. Selain itu ia juga harus dibezakan daripada sinkritisme yang selalu diertikan sebagai faham campur-aduk pelbagai agama.
Faham yang disebut juga dengan istilah transcendent unity of religions ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Rene Guenon, Titus Burckhardt, Fritjhof Schuon, Martin Ling, Seyyed Hossein Nasr dan lain-lain lagi.
Kebelakangan ini faham pluralis tersebut tampaknya mulai di disambut dan dianut oleh kelompok tertentu di rantau ini khususnya mereka yang tergabung dalam warga PARAMADINA di Indonesia.
Usaha pemasarannya ketika ini dikaitkan dengan era globalisasi dengan segala dampak bawaannya, termasuk fenomena “plural” yang secara konsekuansial menuntut sikap terbuka, toleran, akomodatif dan inklusif.
Dalam situasi sekarang, menurut mereka, sikap tertutup dan eksklusif sudah tidak relevan lagi. Dengan semangat zaman yang sedemikian itulah mereka tampil sebagai kaum pluralis-inklusif.
Keinginan menyenangkan Amerika
Pembentukan sikap dan pola fikir model (pluralis-inklusif) tersebut tampaknya lebih didorong oleh keinginan untuk menyenangkan kuasa besar dunia (khususnya Amerika) yang saat ini sedang menggila memburu mereka yang mereka labelkan sebagai kaum fanatik, fundamentalis, ekstrimis dan teroris Muslim.
Seperti yang telah lama kita sedari bahawa dalam situasi sekarang ini memang ada usaha menggubah “Islam” versi Amerika atau “Islam” yang direstui Amerika, iaitu Islam yang hilang keunggulannya, jati dirinya dan dinamika daya juangnya.
Kaum pluralis begitu resah dengan citra Islam yang unik dan berbeza daripada yang lain-lain. Perbezaan mereka dirasakan sebagai pertentangan, konflik dan konfrontasi.
Kerana itu mereka amat tidak senang dengan hal-hal yang tampak kontras: hak-batil, Mukmin-kafir, Muslim-non-Muslim, dosa-pahala, syurga-neraka dan seumpamanya. Dalam perspektif pluralis-inklusif tidak ada lagi perbezaan-perbezaan seperti itu.
Dengan menyamakan semua agama bererti semua agama adalah benar, penganut agama mana pun adalah muslim dan semuanya boleh masuk syurga. Yang berbeza hanya jalannya, tetapi yang dituju adalah sama, iaitu Tuhan, dan semuanya (melalui jalan mana pun) akan sampai ke matlamat.
Pluralisme dalam pengertian di atas dikatakan telah menjadi semacam `aqidah. Di kalangan kaum pluralis sendiri memang telah ada yang mengatakan demikian. `Aqidah pluralis-inklusif yang secara konsekuensial menghasilkan pula fiqh pluralis (lihat buku Fiqh Lintas Agama) yang dibezakan daripada `aqidah eksklusif dengan fiqh eksklusifnya pula.
Untuk mengesahkan faham pluralisme tersebut para pendukungnya merujuk al-Qur’an dan membuat tafsiran-tafsiran “sekena-kenanya” yang sejalan dengan pola fikir pluralis. Antara ayat-ayat yang dirujuk termasuklah:
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal" (Al-Hujurat:13)
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui." (Al-Rum:22)
Ayat tentang perbezaan-perbezaan tersebut dipersepsikan sebagai dasar pluralisme. Perbezaan adalah suatu kenyataan yang positif dan harus disikapi secara positif -- saling mengenal dan saling menghargai.
"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Thaghut, ialah syaitan dan apa saja yang disembah selain dari Allah s.w.t." Al-Baqarah:256)
Ayat tersebut dipakai untuk menjustifikasikan pluralisme dengan memberinya pengertian bahawa tidak ada paksaan dalam memilih satu agama. Pengertian seperti itu membawa implikasi bahawa manusia boleh memilih mana-mana agama kerana pada hakikatnya semuanya sama.
"Sesungguhnya orang-orang mu'min, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin , siapa saja diantara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah , hari kemudian dan beramal saleh , mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhawatiran kepada mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Shabiin ialah orang-orang yang mengikuti syari'at Nabi-nabi zaman dahulu atau orang-orang yang menyembah bintang atau dewa-dewa. Orang-orang mu'min begitu pula orang Yahudi, Nasrani dan Shabiin yang beriman kepada Allah termasuk iman kepada Muhammad s.a.w., percaya kepada hari akhirat dan mengerjakan amalan yang saleh, mereka mendapat pahala dari Allah. Ialah perbuatan yang baik yang diperintahkan oleh agama Islam, baik yang berhubungan dengan agama atau tidak. "(Al-Baqarah:62)
Ayat di atas merupakan sandaran utama kaum pluralis untuk menjustifikasikan pendirian inklusif bahawa semua agama -- asal menyerah kepada Tuhan -- adalah benar dan dapat mencapai keselamatan abadi.
Ternyata mereka memahami ayat tersebut secara harfi, terlepas dari kaitannya dengan zaman keabsahan agama-agama berkenaan, dan terlepas dari syarat menganut Islam (setelah pengutusan Muhammad s.`a.w.) sebagaimana yang biasa ditafsirkan oleh para ulama muktabar.
Untuk membuktikan keabsahan fahamnya kaum pluralis harus mampu melaksanakan suatu projek besar: mendobrak dan membongkar konsep-konsep dasar yang telah mapan dan mantap termasuk konsep Islam dan konsep Ahl al-Kitab. Tampaknya mereka mengeksploitasi dengan leluasa sekali pendekatan deconstruction (pembongkaran) tajaan kaum pascamodenis untuk mempersoalkan pemikiran dan faham yang telah mapan.
Konsep Islam di tangan kaum pluralis telah mengalami pelonggaran makna sehingga meliputi siapa sahaja asalkan menganut agama “Islam” dalam erti agama yang tunduk dan menyerah kepada Tuhan. Tentang bagaimana cara tunduk dan menyerahnya tidak menjadi persoalan. Dengan demikian “Islam” menjadi begitu inklusif setelah dilonggarkan menjadi sekadar kata kerja dan kata terbitan yang bermakna tunduk dan menyerah.
Al-Islam sebenarnya bukan sekadar nama terbitan dari kata kerja aslama dengan makna tunduk dan menyerah, tetapi ia adalah nama agama yang diturunkan Allah kepada Rasul terakhirnya Muhammad (s.`a.w.).
Al-Islam dalam pengertian inilah yang mengandungi cara tunduk dan menyerah sebagaimana yang diperkenan dan diredhai oleh Allah (s.w.t.). Hanya -- Al-Islam: `aqidah dan syari `at Muhammadiyah -- itulah satu-satunya cara tunduk dan menyerah yang sah dan diterima Allah. Demikianlah makna al-Islam apabila ia disebut dalam al-Qur’an.
Ahl al-Kitab memang telah ditentukan pola hubungan khususnya dengan Islam: makanan mereka halal dan wanita-wanita mereka boleh dinikahi oleh orang Islam.
Sesuai dengan orientasi inklusifnya, kaum pluralis telah mengeksploitasi tafsiran-tafsiran longgar tentang ahl al-Kitab yang tidak lagi terbatas pada kaum Yahudi dan Nasrani, tetapi meliputi penganut-penganut agama lain seperti Buddha, Shinto, Konghuchu dan lain-lain lagi.
Selain itu ahl al-kitab yang umumnya dipersepsikan sebagai pelaku kesalahan serius - tahrif al-kalim (merubah kalimat-kalimat Allah), bagi kaum pluralis, apa yang mereka lakukan (bukanlah kesalahan yang sangat serius) samalah dengan pelaku-pelaku amalan bid`ah dalam Islam.
Ahl al-Kitab juga dianggap melakukan perbuatan shirk atas alasan bahawa al-Qur’an merujuk mereka dengan istilah ahl al-kitab dan bukannya al-mushrikin. Demikianlah antara modifikasi yang dilakukan oleh kaum pluralis terhadap konsep ahl al-kitab untuk menjadikannya lebih longgar dan inklusif meliputi golongan yang lebih ramai lagi.
Menghormati hak-hak Ahl al-Kitab memang menjadi kewajipan setiap Muslim, tetapi Islam tidak menyuruh kita menutup-nutupi kesalahan dan kebatilan yang dilakukan oleh Ahl al-Kitab. Niat baik untuk membina hubungan mesra dengan kaum Ahl al-Kitab, bukan alasan untuk membela dan mempertahankan kesalahan-kesalahan mereka.
Qur’an dan Ahl al-Kitab
Pemerian tentang Ahl al-Kitab memang cukup banyak dalam al-Qur’an. Dengan sedikit kekecualian (sebagai bukti objektifnya al-Qur’an) Ahl al-Kitab umumnya bercitra negatif.
Sekadar contoh hakikat tersebut dapat dilihat dalam surah al-Tawbah (29-31). Ayat 29 memerintahkan agar mereka diperangi sehingga mereka membayar jizyah “dengan keadaan taat dan merendah diri”. Ayat 30 menyebut kaum Yahudi mengatakan `Uzayr anak Allah, sementara orang Nasrani pula mengatakan al-Masih anak Allah. Ayat 31 menyebut mereka menjadikan pendita-pendita, ahli-ahli agama dan juga al-Masih ibn Maryam sebagai tuhan. Ayat tersebut berhujung dengan pernyataan, “maha suci Allah dari apa yang mereka sekutukan”.
Dalam ayat-ayat lain mereka yang beri`tiqad seperti itu dinyatakan dengan tegas sebagai kafir (laqad kafara…). Demikianlah sebagaimana yang disebut dalam surah al-Ma’idah ayat 72-73. Ayat 72 menyebut kafirnya mereka yang mengatakan bahawa “Allah ialah al-Masih ibn Maryam”. Ayat 73 pula menyebut kafirnya mereka yang mengatakan bahawa “Allah ialah salah satu daripada tiga Tuhan” (thalithu thalathah).
Al-Qur’an menyebut Ahl al-Kitab sebagai orang yang kafir sesudah beriman (kafaru ba`da imanihim) akibat menganut agama yang bukan lagi agama Allah (al-Islam), menolak kerasulan Muhammad s.`a.w. walhal sebelumnya mereka telah menyaksikannya sebagai benar. Demikianlah pemerian tentang mereka dalah surah Ali `Imran: 86.
Kekeliruan Pluralisme Agama
• Anggapan bahawa manusia dapat sampai kepada Tuhan yang sama lewat jalan-jalan (agama-agama) yang berlainan adalah bertentangan dengan penegasan al-Qur’an tentang jalan Allah yang satu-satunya, jalan lurus (agama Islam) yang haris diikuti, bukan jalan-jalan lain yang menyimpang seperti yang dinyatakan dalam ayat 153 surah al-An`am.
• Andainya agama-agama lain juga benar dan dapat membawa umat masing-masing mencapai keselamatan hakiki dan abadi, lalu apa perlunya Allah mengutus Muhammad s.`a.w. sebagai Rasul terakhir?
• Andainya semua agama sama, semuanya benar, lalu apa ertinya pernyataan Tuhan bahawa “Bahawa Dialah yang mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (al-Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikan atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya” sebagaimana yang disebut dalam surah al-Tawbah:33.
• Andainya semua agama benar, lalu apa ertinya kewajipan mendakwah atau mengislamkan orang yang belum/tidak menganut Islam?
• Kemajmuan (agama) bukan fenomena baru. Ia telahpun wujud seawal zaman Nabi s.`a.w. dan sejak itu pula telah diletakkan asas formula menanganinya seperti yang terumus pada ungkapan Qur’ani lakum dinukum wa liya din (kamu dengan agama kamu, aku dengan agamaku) tanpa saling menyembah tuhan masing-masing, tanpa saling mengakui kebenaran agama masing-masing. - ehsan www.abim.org.my
Kalam Dr Siddiq Fadzil
Kalam Dr Siddiq Fadzil
Ulasan Chegu Ridhwan
Gerakan islam haruslah kembali kepada asas gerakan Islam iaitu tarbiyyah dan dakwah. Penumpuan terhadap politik secara terlampau tanpa tarbiyyah menyebabkan gerakan Islam kini terasa kurang stabil. Idea yang rencam kurang berjaya ditangani dengan jernih.
MENELAAH SEJARAH, MENAFSIR KISAH
Prof. Madya Dr. Siddiq Fadzil
Sejarah : Perspektif Agama
Makalah ini tidak bermaksud untuk memasuki medan falsafah sejarah dengan segala alirannya. Yang akan dibahaskan di sini bukan sejarah dalam erti sekadar catatan peristiwa, tetapi tafsiran, makna dan iktibar sesuatu peristiwa. Pendekatan ini serasi dengan gaya al-Qur’an yang apabila membicarakan sesuatu peristiwa, ia tidak memberikan pemerincian tentang tanggal dan saat terjadinya. Yang dipaparkan adalah tafsirannya, termasuk pengajaran dan petunjuk buat khalayaknya. Pendekatan al-Qur’an umumnya bersifat holistik dalam erti sorotannya tidak terpusat hanya pada gerak adegan lahiriah di pentas sejarah, tetapi menerobos hingga ke pendalaman jiwa dan minda pelaku-pelakunya. Dengan demikian pemeriannya adalah utuh dan menyeluruh, tidak terbatas dan tidak cuma bersifat serpihan.
Sejarah juga bukan peristiwa-peristiwa kebetulan, yang tidak dapat difahami hujung pangkal sebab dan akibatnya. Sesuatu peristiwa sejarah tidak terjadi secarasewenang-wenang, tetapi berlaku menurut aturan tetap ketuhanan, aturan Ilahi yang terjelma dalam hukum sebab akibat. Itulah yang dinamakan sunnatu ‘Llah, undang-undang Tuhan yang tidak berubah. Apabila segala faktor telah terkumpul, maka berlakulah kehendak Allah. Memang perilaku manusia sendiri merupakan faktor utama terjadinya peristiwa sejarah, bagaimanapun penentunya bukanlah faktor-faktor itu sendiri. Penentu yang mutlak adalah kehendak Allah. Kerana itulah apabila al-Qur’an memaparkan sesuatu peristiwa sejarah yang ditonjolkan adalah kehadiran Allah, kudrat dan iradat-Nya.
Al-Qur’an adalah sumber petunjuk bagi manusia. Petunjuk-petunjuk Ilahi itu disampaikan dengan pelbagai cara. Sebahagiannya dengan secara langsung berbentuk perintah dan larangan. Tetapi tidak sedikit pula yang disampaikan secara tidak langsung. Misalnya menerusi kisah dan sejarah. Ini bererti fungsi kisah dan sejarah dalam al-Qur’an bukan untuk lipur lara atau sekadar untuk diketahui (knowledge for the sake of knowledge), tetapi untuk menyampaikan mesej petunjuk. Al-Qur’an banyak sekali membawakan ayat-ayat yang mengajak khalayaknya merenung untung nasib umat terdahulu sambil menilai diri dengan keinsafan bahawa nasib yang sama boleh menimpa siapa sahaja yang memiliki ciri dan faktor yang sama.
Kerelevanan al-Qur’an adalah universal dan abadi. Dengan demikian petunjuk-petunjuk dari kisah dan sejarah dalam al-Qur’an sentiasa relevan bila-bila dan di mana-mana pun. Memang tabiat manusia tetap sama, tidak berubah di sepanjang zaman. Demikianlah misalnya kedurjanaan dan petualangan manusia apabila merasa kecukupan, merasa serba mampu kerana memiliki kekayaan dan kekuasaan.
Watak-watak dalam al-Qur’an seperti Namrud, Fir’aun, Qarun dan lain-lainnya, sebagai individu memang semuanya merupakan watak-watak masa lalu yang sudah ribuan tahun menghilang dari pentas sejarah. Tetapi watak-watak manusia yang mirip atau persis seperti mereka akan sentiasa bermunculan di sepanjang zaman. Dengan ungkapan lain, fenomena sosial-budaya kenamrudan, kefir’aunan dan keqarunan mungkin timbul dari semasa ke semasa.
NAMRUD
Al-Qur’an memberikan pemerian tentang Namrud sebagai raja yang sezaman dengan Nabi Ibrahim (a.s.). Kerana terlalu lama berkuasa ia menjadi lupa diri. Nafsu besarnya menyebabkan ia tidak puas sekadar menjadi raja. Ia mahu menjadi tuhan, lalu meminta rakyat mengakui dan menyembahnya sebagai tuhan mereka. Rasa serba mampu telah mendorongnya berlagak bagai tuhan. Tanpa malu-malu Namrud mendakwa mampu melakukan sesuatu (menghidup dan mematikan) yang pada hakikatnya hanya Tuhan yang sebenar mampu melakukannya.
Dalam dialognya dengan Namrud, Nabi Ibrahim (a.s.) mengatakan bahawa Tuhanya adalah Tuhan Yang Maha Berkuasa menghidupkan dan mematikan. Namrud yang ingin menjadi tuhan merasa perlu memiliki ciri ketuhanan yang sama. Nafsu ingin menandingi Tuhan Ibrahim (a.s.) itulah yang mendorongnya mendakwa, "aku juga mampu menghidupkan dan mematikan" (ana uhyi wa umit). Untuk membuktikannya ia menghadirkan dua orang pesalah yang telah dijatuhi hukuman mati, yang seorang dibebaskan, manakala yang seorang lagi diperintahkan menjalani hukuman (mati). Itulah yang ia tahu tentang erti menghidupkan dan mematikan. Dengan sangkaan ia sudah menang, ia berkhayal menjadi "tuhan". Pada hakikatnya yang terserlah dari cara berhujah dan pembuktian sedemikian itu bukan kuasa "ketuhanan"nya tetapi kuasa "kediktatoran"nya berbuat semahunya, bertindak ke atas seseorang sesuka hati untuk kepentingan diri.
Mungkin kerana merasa tidak ada gunanya berdebat tentang erti sebenar "menghidup dan mematikan" dengan orang tolol, maka Nabi Ibrahim mengubah cara berhujahnya dengan mengatakan, "Tuhanku menerbitkan matahari dari sebelah timur, cuba anda terbitkannya dari sebelah barat pula" (al-Baqarah: 358). Kali ini Namrud tidak dapat menjawab, ia kebingungan, terpinga-pinga bercampur marah. Selama ini tidak siapa pun berani berkutik di hadapannya sekarang ia dibantah dan dicabar secara point-blank. Namrud terjerat dalam kesombongan dan ketololannya sendiri.
FIR’AUN
Watak lain yang memperlihatkan pola fikir dan mentaliti yang sama ialah Fir’aun. Raja Mesir yang bermaharajalela dengan kuasa dan kekayaan itu merasa tergugat dengan kemunculan Musa (a.s) sebagai pemimpin yang kian popular di kalangan kaumnya. Untuk membendung arus sokongan rakyat dari terus mengalir ke pihak Musa (a.s.), Fir’aun bertindak dengan mengeksploitasi kebodohan rakyat, mengabui mata mereka dengan mempamerkan kehebatannya sebagai pemilik kerajaan dan bumi Mesir dengan segala sungai-sungainya. Sementara itu Nabi Musa (a.s) dihinanya sebagai orang yang tidak punya apa-apa, malah berbicara pun tidak petah. (al-Zukhuf: 51-56)
Rakyat yang berfikiran singkat dan telah rosak jiwa dan mindanya memang mudah terpedaya dengan propaganda gaya Fir’aun itu. Apa lagi Fir’aun memang selamanya menggunakan kuasa dan kekayaannya untuk melaksanakan dan membiayai program-progam menyesatkan rakyat. Memperbodoh dan mengelirukan rakyat masa memang menjadi amalan lumrah kalangan penguaas diktator zalim di mana-mana. Ini mereka lakukan dengan cara menguasai media dan menutup semua saluran maklumat sehingga mereka tidak mengetahui fakta-fakta yang sebenar dan tidakberminat untuk mencarinya, cukup dengan menelan apa sahaja yang disogokkan. Dengan demikian mudahlah mereka dibuli dan diperalat, dikerah dan diarah mengikut telunjuk para penguasa.
Tidak cukup dengan mengongkong pemikiran rakyat massa, Fir’aun berusaha untuk menguasai dan memperalat golongan "cendekiawan" yang terdiri dari kalangan ahli-ahli sihir. Ini lakukan dengan menawarkan ganjaran yang lumayan kepada mereka yang sedia memberikan khidmat memperkukuh kekuasaan Fir’aun. Dengan motif merebut ganjaran lumayan itulah mereka menyanggupi tugas melawan mu’jizat Nabi Muasa (a.s). Tetapi setelah kalah dalam perlawanan itu mereka membuka mata, menginsafi bahawa mereka berhadapan dengan kebenaran dan kuasa Tuhan yang sebenarnya, lalu mengambil keputusan untuk menerima hakikat tersebut. Mereka beriman dengan Nabi Musa (a.s.) dan bersedia menghadapi risikonya iaitu kemurkaan dan penganiayaan Fir’aun.
Seperti yang memang telah diduga, Fir’aun menjadi berang apabila mereka mengambil keputusan memihak kepada Musa (a.s) tanpa terlebih dahulu mendapatkan izinnya. Tetapi siksaan kejamnya tidak juga dapat mengubah pendirian ahli-ahli sihirnya itu (al-A‘raf: 113-126). Rupa-rupanya masih ada kelompok yang tidak dapat diperbodoh kerana memang mereka tidak bodoh. Meskipun tadinya mereka berhasrat mencari untung, tetapi apabila berhadapan dengan isu hak dan batil, benar dan salah, mereka tidak sanggup mengkhianati suara nuraninya sendiri. Mereka masih setia kepada etik keilmuan bahawa kebenaran tidak harus ditundukkan kepada kemahuan politik (penguasa).
Demikianlah kuasa sebesar manapun dan harta sebanyak manapun tidak dapat memuaskan nafsu seorang Fir’aun. Setelah tidak puas menjadi raja, Fir’aun seperti Namrud, bernafsu menjadi tuhan. Ia mahu agar rakyat tidak hanya merajakannya, tetapi mempertuhankannya. Kepada para pendukungnya ia selalu berkata, "aku tidak nampak ada tuhan lain bagi kamu selain aku!" (al-Qasas:38). Para pengampu yang mengamalkan politik "asal bapak senang" memang tidak pernah keberatan memberikan sokongan, malah tepukan gemuruh kepada kata-kata seperti itu meskipun tidak masuk akal.
Selama masa yang barangkali cukup lama Fir’aun bermaharajalela sehingga Nabi Musa (a.s.) yang banyak menderita akibat angkaranya, pada suatu ketika mengadu kepada Tuhan, "Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah berikan segala macam perhiasan dan kekayaan kepada Fir’aun dan orang-orangnya, Ya Tuhan kami, mereka (telah menyalahgunakan anugerah-Mu) untuk menyesatkan (dan menyelewengkan orang) dari jalan (petunjuk)-Mu" (Yunus:98). Kesempatan yang berikan kepada Fir’aun untuk merajalela tidak bererti Tuhan merestuinya. Sebaik-baik sahaja kezalimannya mencecah tahap yang ditentukan, Tuhan merentapnya tanpa sebarang amaran lagi. Tiba-tiba dalam sekelip mata Fir’aun hilang tenggelam diperut laut. Kisahnya diabadikan dalam al-Qur’an sebagai tugu sesuatu puncak kezaliman dalam sejarah kemanusiaan, untuk dijadikan iktibar buat generasi zaman mendatang.
QARUN
Situasi era tersebut digawatkan lagi oleh kemunculan satu watak lain iaitu Qarun yang tampil dengan citra kerakusan hartawan lupa dataran. Al-Qur’an memperkenalkan Qarun sebagai orang yang berasal dari kaum Nabi Musa (a.s.). Meskipun datang dari kaum yang sama (Bani Isra’il), mereka tidak sehaluan. Sementara Musa (a.s.) adalah pemimpin-pembela kaumnya, Qarun pula adalah penindas dan pemeras kaumnya sendiri. Qarun memang kaya luar biasa. Kunci-kunci khazanahnya sahaja tidak terpikul oleh sejumlah orang perkasa. Beliau mendakwa kekayaannya adalah hasil kemahirannya sendiri, tetapi sebenarnya ia diperoleh secara zalim dengan memeras dan merampas hak bangsanya sendiri. Andainya pemerian al-Qur’an ini dilihat dari perspektif sosio-ekonomi-politik kontemporer, ia merupakan pendedahan tentang sejenis fenomena "penjajahan" ekonomi oleh golongan kapitalis peribumi. Ia bukan penjajahan kuasa luar, tetapi "penjajahan" kuasa dalaman yang tidak kurang bahayanya.
Qarun juga dikatakan mempunyai posisi politik yang cukup strategik. Sebagai salah seorang anggota kabinet Fir’aun, tentu sahaja beliau telah menggunakan posisi politiknya itu untuk mengaut keuntungan peribadi. Selain itu ia juga mempunyai cita-cita politik mengambil alih kedudukanMusa (a.s.) sebagai ketua kaum Bani Isra’il. Kerana itu ia menggunakan kekayaannya untuk membiayai rancangan memusnahkan pemimpin Musa (a.s.), termasuk mengupah seorang wanita agar membuat pengakuan palsu pernah melakukan hubungan sex dengan Musa (a.s.). Bagaimanapun percubaan itu telah gagal. Dalam keterangannya sewaktu diadakan proses pembuktian, wanita tersebut mengaku telah diupah oleh Qarun.
Al-Qur’an memberikan pemerian tentang penampilan Qarun yang suka mempamerkan kebesaran dan kekayaannya. Kebiasaan ini dilakukan bukan tanpa motif tertentu. Ia adalah suatu strategi menarik perhatian ramai agar ia dikagumi sebagai wira dan idola. Dengan mempamerkan kekayaannya ia juga bermaksud menghantar mesej bahawa ia mampu melakukan segala-gala, mengupah, membeli dan membiayai apa sahaja dan berapa sahaja. Seolah-olah ia mahu memberi amaran kepada sesiapa sahaja, jangan cuba-cuba mencabar aku!.
Dalam pemerian selanjutnya al-Qur’an menyebut tentang adanya kelompok yang memang mengagumi Qarun; iaitu golongan mata duitan yang terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan cara apa sahaja. Bagi kelompok materialistik ini, Qarunlah yang menjadi idola pujaan. Mereka ingin menjadi Qarun, kerana ia adalah lambang kejayaan seorang usahawan, kejayaan yang hanya diukur dari jumlah yang tertimbun, tanpa mengambil kira dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan.
Qarun memang diidolakan oleh para pengagumnya, tetapi pada hakikatnya fenomena keqarunan adalah gejala kehancuran. Kerana itu Qarun mengakhiri hayatnya dengan nasib yang sangat tragik, hancur luluh ditelah bumi. Al-Qur’an memberikan gambaran, bagaimana Qarun terbenam ke dalam bumi bersama rumahnya sekali. Dari sekian banyak hartanya yang turut musnah, al-Qur’an secara khusus menyebut rumahnya. Mungkin rumah mewahnya (pintu-pintunya diperbuat daripada emas) itulah yang menjadi simbol kekayaan dan kebanggaannya selama ini. (al-Qasas: 76-81). Qarun memang bersalah kerana memeras, menyalahgunakan kekayaan untuk membiayai kegiatan-kegiatan khianat dan pelbagai kezaliman lain lagi. Tetapi ada lagi yang wajar disalahkan, iaitu sistem yang mengizinkan fenomena keqarunan itu berlaku.
ZAMAN EDAN
Fenomena keqarunan – kegilaan merebut kekayaan dan penyalagunaanya – adalah fenomena yang seringkali berulang dalam sejarah. Yang berbeza hanya rupa dan skalanya. Dalam konteks rantau ini kita menemukan sejumlah catatan tentang babak-babak zaman kebejatan, kegilaan, kezaliman dan lain-lain yang semakna. Pujangga terakhir dalam sejarah kepustakaan Jawa tradisional, Ronggowarsito (1802-1873) misalnya telah merakamkan situasi zamannya (abad 19) yang disebutnya sebagai jaman edan (zaman gila). Penanaman tersebut memang menepati realiti zaman itu yang memang dicirikan oleh kegilaan memperebutkan kekayaan dan kedudukan dengan apa jua cara, termasuk cara-cara yang curang. Dalam situasi tersebut hanya yang gila dan yang mahu ikut gila sahaja yang mendapat habuan dan menyapu bersih semuanya sehingga tidak ada yang tersisa buay yang tidak gila dan yang tidak mahu ikut gila. Dalam bukunya Kalatidha (Zaman Cacat) Ronggowarsito menjelaskan situasi jaman edan itu menerusi ungkapan-ungkapan puitis seperti berikut :-
Hidup di zaman edan
Gelap jiwa bingung pikiran
Turut edan hati tak tahan
Jika tidak turut
Batin merana dan penasaran
Tertindas dan kelaparan
Tapi janji Tuhan sudah pasti
Seuntung apa pun orang yang lupa daratan
Lebih selamat orang yang menjaga kesadaran.
(Ahmad Norma 1998)
Jaman edan adalah semacam kutukan zaman atau jaman kena pekewuh yang ditandai oleh pelbagai gejala keruntuhan, "negara yang kehilangan wibawa, penguasa yang kehilangan etika, masyarakat yang kehilangan pranata dan alam yang terus melahirkan bencana." Untuk bersikap lurus dan murni dalam budaya gila seperti itu memang tidak mudah. Namun demikian, sebagai pujangga pemegang amanah keilmuan, Ronggowarsito tetap setia dengan tugas dan missinya menegakkan nilai-nilai murni menerusi mesej kepujanggaan yang cukup tajam, "sak beja bejane wong kang lali, luweh bejo wong kang eleng lan waspada" (seuntung-untung orang yang lupa, lebih untung lagi orang yang beringat dan berwaspada).
Sebenarnya fenomena zaman gila seperti yang digambarkan itu tidak timbul secara mendadak dan tiba-tiba. Ia sudah lama mengejala sebelum era kepujanggaan Rongowarsito. Sejak zaman datuknya, Yosodipuro II yang juga seorang pujangga kerajaan Surakarta, situasinya sudah cukup parah. Dalam karyanya Wicara Keras, dengan nada marah, pujangga Yosodipuro II merakamkan keprihatinannya terhadap tingkah dan olah sewenang-wenang para penguasa zamannya,
Jika tidak demikian,
pasti tertukar iblis,
ketika ibunya bersenggama dengan bapaknya dulu,
setan ikut bersenggama,
jika bukan hantu,
karenanya bertindak sesat,
berlaku bejat
menindaskan sesama bangsa.
Memuja nafsu diri,
ingin dipuji, sebagai pandai (bistari),
perempuan lacur, nampak bidadari,
jika merasa tersinggung, sesama bangsa lalu berkelahi,
tanpa tenggang rasa, mengancam-mengintimidasi,
apakah akan begitu kalau memang berani.
Beraninya dengan bangsa sendiri,
sampai rela mengorbankan jiwa,
biasanya orang yang memang pemberani,
seperti sultan mangkubumi,
pertapa dan rendah hati,
selalu pandai membawa diri,
segala perselisihan dihindari,
berkata baik tak pernah menyakiti,
sederhana tapi mumpuni,
tidak mau memusuhi bangsa sendiri.
(Poerbatjaraka, 1954).
KEJATUHAN MELAKA
Dalam sejarah kita sendiri, tidak sedikit ilmuwan pujangga yang mencatatkan keprihatinanya terhadap gejala penguasa bernafsu besar yang sanggup melakukan apa sahaja demi melayani keserakahannya. Dalam karya agungnya Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) Tun Sri Lanang mengisahkan tentang Sultan Mahmud yang setelah kematian isteri, berhasrat meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak mahu beristerikan puteri raja biasa kerana ia bererti sama dengan raja-raja lain. Baginda ingin tampil lain dari yang lain. Katanya, "…yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang, kita hendak menyuruh meminang Puteri Gunung Ledang;……." (A.Samad Ahmad, 1984: 213)
Dalam jawapannya terhadap peminangan tersebut Puteri Gunung Ledang meletakkan syarat-syarat yang sangat berat. Katanya, "Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan peminangnya hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan, darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu." (A. Samad Ahmad, 215).
Soal status kesejarahan peristiwa tersebut tidak menjadi persoalan. Yang perlu direnung adalah mesej pengarangnya yang merupakan sindiran simbolik tentang nafsu besar sang penguasa yang ingin menjadi orang unik dan terunggul sehingga sanggup berbuat apa sahaja termasuk memeras rakyat dan memunggah khazanah negara. Penguasa yang sudah bertuhankan nafsu, sanggup mengorbankan apa sahaja, berapa sahaja dan siapa sahaja kecuali satu: kepentingan anak-pinaknya. Itulah sebenarnya yang tersirat di sebalik jawapan Sultan Mahmud, "Semua kehendaknya itu, dapat kita adakan, mengeluarkan darah anak kita itu juga apatah daya, kerana tiada sampai hati kita." (A.Samad Ahmad : 215). Selain darah anak sendiri, segala syarat lain disanggupinya walaupun implikasinya adalah derita rakyat dan pembaziran wang negara membiayai "projek mega jambatan kembar emas-perak dari Melaka ke puncak Gunung Ledang yang bererti jambatan terpanjang, tertinggi dan termahal di dunia. Mengenai kisah ini Hamka menyimpulkan, Meskipun Tun Sri Lanang mencantumkan kisah ini dalam Sejarah Melayu sebagai suatu dongeng yang disangsikan kebenarannya namun dongeng ini adalah kias yang dalam tentang laku perangai Sultan." (Hamka, 1981 : 167).
Hamka adalah ilmuwan Melayu yang cukup gigih menekuni bidang persejarahan. Dalam catatannya tentang kejatuhan Melaka pada abad ke-16m, beliau menyebut tentang budaya fitnah yang membawa kepada tragedi nasional pembunuhan Bendahara Sri Maharaja. Menjelang saat kejatuhannya Melaka dirajai oleh Sultan yang telah kehilangan wibawa terutama kerana kebejatan perilakunya. Namun demikian Melaka masih bernasib baik kerana ".… mempunyai orang kedua yang sangat disegani orang, baik di dalam negeri Mekala sendiri, atau oleh orang luar negeri, iaitu Bendahara Sri Maharaja." (Hamka : 167). Kebijaksanaanya digambarkan oleh Hamka dengan ungkapan, "Tidak ada kusut yang tidak selesai, tidak ada keruh yang tidak jernih bila tangan beliau yang memegang." (Hamka : 167).
Malangnya Sultan tidak merasa dibantu, malah sebaliknya merasa digugat. Baginda tidak senang, …"Bendahara lebih dikenal orang di luar negeri daripada dirinya sendiri….." (Hamka : 176). Rasa tidak senang Sultan itu segera diekspliotasi oleh kelompok berkepentingan dengan menyebarkan pelbagai fitnah sehingga"…setiap hari hanyalah kebusukan dan keburukan Bendahara yang menjadi buah mulut dalam istana. Banyaklah menjadi pembicaraan tentang pengaruh Bendahara, tentang kesombongan Bendahara, tentang kekayaan Bendahara." (Hamka : 168).
Gerakan anti Bendahara itu akhirnya memuncak dengan fitnah kononnya Bendahara mahu merampas kuasa, menumbangkan Sultan dan mengambil alih tempatnya. Fitnah tersebut dapat menyakinkan Sultan lalu baginda bertindak menitahkan agar Bendahara dibunuh. Demikianlah Melaka kehilangan putera terbaiknya apabila Bendahara Sri Maharaja dibunuh dengan tusukan keris istana. Tragedi ini digambarkan oleh Hamka dengan kata-kata, "Muramlah Melaka sejak kejadian itu. Orang-orang yang jujur dan sudi berkorban kian lama kian hilang dan habis. Yang ada hanyalah buih-buih yang merapung seketika ombak besar! Yang ada hanyalah orang-orang yang menyembah ‘Ampun Tuanku! Segala titah patik jujung!"( Hamka : 168).
Ketika Hamka menulis catatan tersebut pada tahun 1956, beliau ditanya oleh anaknya, apa gunanya sejarah kejatuhan Melaka itu diungkapkan semula. "Apakah ayah percaya akan teori sejarah mengulangi dirinya?". Hamka menjawab, "Tidak nak! Sejarah tidaklah mengulangi dirinya. Tetapi perangai manusia di segala zaman, baik dalam nama feudalisme, atau demokrasi, atau diktator adalah sama saja..." (Hamka: 169).
Rujukan
Al-Qur’an al-Karim
Al-Barawiy, Rashid, 1978. Al-Qasas al-Qur’aniy: Tafsir Ijtima’iy. Kaherah: Dar al- Nahdah al-‘Arabiyyah.
A. Samad Ahmad (pnyt.), 1984. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hamka, 1981. Dari Perbendaharaan Lama. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
‘Imad’ al-Din Khalil, 1994. Al-Manzur al-Tarikhiy fi Fikr Sayyid Qutd. Dimashq: Dar al-Qalam.
Ronggowarsito (terj. Ahmad Norma), 1998. Zaman Edan Yogyakarta: Yayasan Bentang Budaya.
Parkroyal,
Kuala Lumpur,
10 Julai 1999.
Monday, August 31, 2009
PANDANGAN SARWA ISLAMI (Islamic Worldview)
Pandangan Sarwa
Istilah worldview atau weltanschauung sering diterjemahkan dengan ungkapan yang berbeza-beza seperti pandangan sarwa, pandangan jagat, pandangan dunia dan pandangan hidup. Yang dimaksudkan dengan worldview pada umumnya ialah persepsi, perspektif, tanggapan, tasawwur atau mental attitude (sikap mental) terhadap segala sesuatu. Persepsi sesuatu bangsa terhadap segala sesuatu atau alam semesta biasanya dicirikan oleh agama atau budaya yang dianuti. Kerana itu worldview kadang-kadang ditakrifkan sebagai, “the way people characteristically look outward upon the universe.” (Redfield, R., The Primitive World and its Transformation, 1966, hlm. 85).
Dalam kaitan ini apa yang disebut sebagai pandangan sarwa Islam; atau Islamic worldview itu biasanya diertikan sebagai “how Islam looks at things”, yakni bagaimana Islam melihat segala sesuatu. Penjelasan tentang Islamic worldview seperti itu sebenarnya tidak memadai, malah mungkin mengelirukan. Kerana itu huraian Prof. Syed Naquib al-Attas mengenai hal ini memang sangat relevan. Menurut beliau worldview dari perspektif Islam tidak hanya pandangan minda (mind’s view) terhadap alam fizikal atau penglibatan sosial, politik, budaya dan sejarah manusia di dalamnya; sebagaimana yang tergambar dalam ungkapan Arab nazrat al slam li al-kawn yang membawa maksud penglihatan Islam terhadap alam (fizikal). Pentakrifan pandangan sarwa Islam seperti itu dinilai tidak tepat kerana dengan menggunakan istilah nazrat, seolah-olah worldview Islam hanyalah spekulasi falsafah yang berasaskan semata-mata pada pengalaman inderawi dan data-data yang tampak di mata.
Demikian juga dengan pemakaian istilah kawn (alam fizikal) yang membawa implikasi seolah-olah worldview Islam hanya terbatas pada dunia inderawi dan alam ciptaan (created things). Cara pentakrifan sedemikian itu jelas memperlihatkan pengaruh pemikiran saintifik-sekular Barat moden. Worldview Islam merentas alam fizikal, meliputi alam-alam dunia dan akhirat.
Worldview Islam sebenarnya amat terkait dengan persoalan realiti atau haqiqah, yakni kebenaran dalam erti yang setulen dan seluasnya. Realiti dalam konteks worldview Islam adalah lebih luas dari cakupan istilah waqi’iyyah yang terbatas hanya pada fenomena peristiwa-peristiwa faktual, tidak meliputi segala yang terkandung dalam istilah haqiqah itu.
Dalam hubungan ini worldview dari perspektif Islam menurut Prof. Syed Naquib al-Attas ialah, “vision of reality and truth”, yakni wawasan realiti dan kebenaran yang tampak pada mata akali tentang segala yang wujud. Bertolak dari kenyataan tersebut Prof. al-Attas mendefinisikan worldview Islam sebagai, “ru’yat al-Islami li al-wujud atau wawasan/visi Islam tentang segala kewujudan.” (Al-Attas, S.M.Naquib, The Worldview of Islam: An Outline, 1996, hlm. 25-26)
Pandangan Sarwa Islami (Islamic Worldview): Tauhid dan Implikasinya
Worldview adalah bahagian terpenting daripada ajaran Islam. Ia menentukan bagaimana seseorang Muslim itu melihat, mendekati dan berinteraksi dengan segala sesuatu dalam kehidupannya. Apabila seseorang itu bertukar agama, maka perubahan paling mendasar yang dialaminya ialah perubahan worldview. Demikianlah erti dan implikasi proses pengislaman sesuatu umat, iaitu perubahan dan anjakan dari worldview pra-Islam kepada worldview Islam. Dengan demikian persepsinya tentang Tuhan, manusia, alam, kehidupan dan segalanya adalah berdasarkan worldview Islam yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah.
Pandangan Sarwa Tauhidik
Tuhan bagi orang Islam bukan lagi dewa dan bukan lagi semangat pada objek-objek tertentu, tetapi Allah s.w.t., Tuhan Rabb al-’Alamin (Tuhan seluruh dan seisi alam), Tuhan Yang Maha Tinggi (al-A’la), Maha Pencipta (alladhi khalaq), Maha Penyempurna (fasawwa), Maha Pengatur (alladhi qaddara) dan Maha Pembimbing (fahada) – Surah al-A’la: 1-3). Tuhan bukan bahagian dari alam, tetapi di luar alam dalam erti Divine transcendence. Ia juga bukan sekadar suatu idea yang abstrak tetapi kekuatan dinamis yang menyatakan kekuasaan dan kebesaran ketuhanan-Nya menerusi nama-nama-Nya yang 99 (al-Asma’ al-Husna), dengan penekanan pada keesaan dan kelainanNya daripada segala sesuatu (al-Syura: 11).
Kerana penekanannya yang istimewa pada tauhid (pengesaan Tuhan) maka worldview Islam selalu disebut tauhidic worldview. Memang keesaan Allah (Tuhan yang bersifat Ahad) merupakan teras ajaran Islam. Kesaksian terhadap tauhid merupakan inti kalimah syahadat (Ashhadu an la ilaha illa ‘Llah: Aku naik saksi bahawa tidak ada tuhan, melainkan Allah). Ungkapan syahadat (penyaksian) tersebut membawa pelbagai implikasi besar terhadap kehidupan seseorang Muslim.
Tauhid mempunyai dua dimensi, tauhid rubbubiyyah dan tauhid uluhiyyah. Tauhid rubbubiyyah bermaksud meyakini keesaan Allah sebagai al-Rabb, satu-satu Tuhan Yang Mencipta, Menyempurnakan, Memberi aturan dan petunjuk kepada seluruh alam dan manusia sebagai khalifah-Nya di bumi. Tauhid uluhiyyah pula bermaksud meyakini keesaan Allah sebagai al-Ma’bud, satu-satunya Tuhan Yang Disembah oleh manusia selaku ‘abdu’Llah (hamba Allah).
Faham tauhid dalam kedua-dua dimensi tersebut membawa implikasi bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan tumpuan rasa hormat, syukur, cinta, takut, setia, pengabdian, kebaktian, asal (dari mana manusia datang) dan kesudahan (ke mana ia akan pulang). Selain sebagai satu-satunya tumpuan, Allah juga adalah satu-satunya sumber nilai, aturan, petunjuk dan ilmu.
Ungkapan kalimat syahadat (la ilaha illa ‘Llah: tiada tuhan melainkan Allah) adalah merupakan deklarasi pembebasan manusia dari segala bentuk pengabdian sesame makhluk. Di samping itu ia juga merupakan deklarasi komitmen manusia untuk melaksanakan kehendak-kehendak Allah baik dalam hubungan vertical (hubungannya dengan Tuhan) mahupun dalam hubungan horizontal (hubungannya dengan sesame manusia dan alam). Bagi manusia Muslim, segala perintah dan kehendak Tuhan itu menjadi nilai-nilai hidupnya yang kudus dan abadi.
Tauhid pada hakikatnya bukan sekadar suatu faham atau idea yang hanya bersifat konseptual. Sebenarnya ia adalah suatu kaedah integrasi (pemaduan) yang sebaik-baiknya. Penghayatan tauhid dapat menghasilkan kesepaduan peribadi manusia (integrated personality). Keperibadian yang sepadu ialah keperibadian yang dicirikan oleh keserasian yang harmonis di antara pemikiran, perasaan, cita rasa dan perlakuan. Tidak ada konflik atau percanggahan di antara pemikiran dengan perlakuan, di antara cita rasa dengan pemikiran atau seumpamanya.
Keperibadian yang mengalami percanggahan-percanggahan adalah keperibadian yang pecah (split personality) dan ia bukan keperibadian yang dicerna oleh tauhid. Demikianlah manusia tauhidik selamanya dalam kesepaduan yang menepati semangat ayat “sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku (seluruhnya) semata-mata kerana Allah, Tuhan sarwa alam”. Manusia tauhidik memang tidak mengenal dualisme seperti beribadat kerana Allah, tetapi bekerja kerana yang lain.
Sebagai kaedah integrasi, tauhid juga dapat membawa kesatuan umat manusia. Dilihat dari perspektif tauhid, manusia dari segala bangsa dan warna adalah warga keluarga besar anak-cucu Adam a.s., dan semuanya adalah hamba dan makhluk Tuhan Yang Maha Esa. Lebih daripada itu tauhid juga membawa semangat kekeluargaan dan keharmonian di kalangan segala jenis makhluk warga alam, termasuk manusia dan persekitarannya.
Tidak kurang pentingnya ialah tauhid sebagai kaedah integrasi ilmu. Kesepaduan ini adalah berasaskan hakikat bahawa satu-satunya sumber ilmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, dan semua cabang ilmu adalah bermatlamat untuk pengabdian kepada-Nya.
Demikianlah worldview Islam tentang Tuhan. Usaha pendakwahan dan pendidikan Islam di mana-mana umumnya sangat menekankan pembentukan worldview. Ini dilakukan menerusi tradisi pengajian agama yang melibatkan pelbagai disiplin ilmu terutama usuluddin, tasawwuf, tafsir dan hadith. Dalam konteks masyarakat kita, manuskrip Melayu tertua (abad 16M), al-’Aqa’id al-Nasafiyyah adalah sebuah kitab yang kandungannya tidak lain dari worldview tauhidik.